Jika anda mempunyai anak yang lewat bertutur, tapi ada menunjukkan usaha untuk
berkomunikasi dan mempunyai kefahaman bahasa yang bagus;
informasi ini mungkin bermanfaat kepada anda.
.
.
Antara kesukaran yang dihadapi oleh ibubapa, adalah untuk menyediakan perkataan sasaran untuk diajar.
Di sini, saya kongsikan jenis perkataan yang bagaimana mampu menyokong perkembangan bahasa dan pertuturan anak anda.
Perkataan mana yang perlu dipilih dan dilatih dalam aktiviti seharian.
.
Ia adalah,
Perkataan teras VS perkataan yang jarang digunakan
Ambil contoh mudah,
di antara perkataan /buka/ dan /pokok/, yang mana satu digunakan berulang-ulang kali dalam sehari-harian?
Yang mana satu boleh digunakan dalam banyak situasi daripada pagi hingga ke malam?
Yang mana satu boleh digunakan untuk digabungkan dengan perkataan lain untuk tujuan
memanjangkan ayat?
.
.
Ya. /buka/ adalah jawapan yang lebih tepat.
/pokok/ mungkin hanya akan digunakan sewaktu anak berada di luar rumah atau semasa
menaiki kereta.
Perkataan /buka/ adalah contoh PERKATAAN TERAS. Manakala /pokok/ adalah contoh
perkataan yang jarang digunakan.
.
Perkataan teras biasanya mempunyai ciri-ciri berikut:
+ digunakan berulang-ulang kali dalam aktiviti seharian
+ Boleh digunakan dalam banyak situasi
+ mempunyai peluang untuk digabungkan dengan banyak perkataan
+ boleh disertakan dengan pergerakan isyarat (contohnya perkataan "nak." sambil menadah tapak tangan).
Perkataan yang jarang digunakan pula biasanya terdiri daripada kata nama. Lazimnya
digunakan dalam situasi yang spesifik sahaja, seperti contoh di atas.
.
Mengapa disyorkan menggunakan perkataan teras sebagai sasaran utama untuk mengajar
perkataan baru?
Pertama sekali, perkataan itu sendiri mudah diaplikasikan dan memang kerap digunakan.
Penggunaannya juga dapat membantu ibubapa untuk fokus pada perkataan yang dipilih.
Disebabkan perkataan teras digunakan dalam semua situasi, potensi untuk anak mendengar perkataan yang sama adalah tinggi.
Ibubapa selaku pengajar, juga ingin rasa kejayaan. Lebih banyak diulang, lebih mudah anak faham.
Lebih mudah untuk anak belajar menggunakannya.
Apabila sesi belajar dimulakan dengan perkara yang mudah dicapai, ibubapa dan anak
sekaligus akan lebih bersemangat untuk terus meningkatkan usaha.
Di sini saya sertakan contoh perkataan teras yang boleh digunakan sebagai sasaran:
/nak/ - /nak makan, nak permainan, nak buku, nak taman, nak buai, nak pakai/
/buka/ - /buka baju, buka seluar, buka pintu, buka peti ais, buka kotak, buka bekas, buka
TV, buka air/
/bersihkan/ - /bersihkan tangan, bersihkan pinggan, bersihkan baju, bersihkan badan,
bersihkan permainan, bersihkan meja/
/makan/ - /makan buah, makan nasi, makan biskut, makan pagi, makan malam, makan
ayam/
/pergi/ - /pergi taman, pergi jalan-jalan, pergi makan, pergi sekolah, pergi kedai/
.
.
Caranya,
Pilih 3 - 5 perkataan, tekankan sepanjang hari. Gunakan dalam semua aktiviti seharian.
Modelkan penggunaan perkataan, dan beri peluang mereka untuk gunakan.
Sediakan situasi yang memerlukan anak untuk berkomunikasi untuk mendapatkan apa
yang mereka mahu.
Walaubagaimanapun, perkataan yang jarang digunakan seperti kata nama juga boleh
digunakan sebagai permulaan. Namun, pilihlah perkataan yang bermotivasi tinggi untuk
anak (seperti mainan kegemaran).
.
.
Ada banyak lagi perkataan teras yang boleh digunakan. Jadikan contoh ini sebagai panduan untuk anda memilih perkataan sasaran.
Dengan maklumat ini, diharapkan dapat membantu ibubapa meningkatkan kemahiran
bahasa dan pertuturan anak.
.
Jika didapati anak menghadapi masalah lewat bertutur, dapatkan bantuan dan panduan
daripada Speech-Language Therapist dengan lebih lanjut.
Siti Sarah Said
Speech-Language Therapist.
Comments
Post a Comment