MUDAH RASA BOSAN BILA BERMAIN DENGAN ANAK?
"Bila expert cadangkan untuk bermain dengan anak, saya pun luangkan juga masa bermain dengan anak.
Namun, tak nampak lagi hasilnya. Waktu bermain, anak lebih suka main sendiri. Tak mahu orang lain ganggu."
"Bagaimana cara yang betul untuk bermain dengan anak?"
.
Sebenarnya, tiada manual. Tiada betul atau salah. Semua cara boleh jadi betul.
Walaupun kanak-kanak perlukan masa untuk bermain sendirian atau main bersama kanak-kanak lain tanpa campur tangan ibu bapa, namun,
kajian juga menunjukkan bahawa masa bermain dengan ibu bapa juga adalah penting.
Bagaimana untuk kita pastikan keterlibatan kita bersama anak, dapat membantu mereka?
Perhatikan beberapa perkara berikut:
1. Adakah kita menjadi 'rakan' yang menyokong, atau hanya perhatikan dan tegur anak
apabila anak lakukan kesalahan?
2. Adakah kita cuba untuk ‘enjoy’ bermain perkara yang sama dengan apa yang anak kita
sukakan?
3. Adakah kita beri peluang untuk anak cuba sesuatu yang mereka belum kuasai, ataupun
kita lebih mudah untuk terus berikan bantuan?
4. Adakah kita terlalu banyak mengarah dan mengajar semasa bermain?
5. Adakah kita cuba wujudkan peluang untuk mereka belajar sesuatu semasa bermain?
6. Adakah kita sentiasa tingkatkan cabaran semasa bermain (kemahiran berfikir,
pengawalan motor, komunikasi dll) dari semasa ke semasa?
.
.
Jika anda baru tersedar yang anda sebenarnya berada pada posisi yang sebaliknya, usah bimbang artikel ini akan membantu anda.
Bagaimana hendak bermula?
Ini antara perkara asas yang perlu dipraktikkan ketika bermain bersama anak:
1. Perhatikan apa yang anak sedang lakukan, sertai mereka.
Sertai apa sahaja yang menarik minat untuk mereka lakukan, lihat atau rasa.
Sebenarnya, minda anak-anak akan lebih bersedia untuk belajar dalam keadaan yang seronok dan teruja.
Keterlibatan kita pula akan membina lebih banyak peluang untuk anak belajar bahasa.
2. Latih anak untuk mengambil giliran.
Kemahiran ini sangat penting untuk perkembangan sosial dan komunikasi.
Ada kanak-kanak yang hanya menumpukan kepada keinginan mereka. Mereka hanya akan fokus
kepada apa yang mereka mahu tanpa hiraukan persekitaran mereka.
Ada sesetengah lagi, mereka boleh berhenti sebentar mendengar apa yang disampaikan oleh orang sekeliling. Inilah cara yang digunakan untuk mereka memahami apa yang berlaku
di sekeliling mereka.
Perhatikan apa yang berlaku ketika kita berbual. Seorang akan bercakap, seorang lagi akan mendengar, memproses, mengingat dan merancang apa yang perlu dibalas untuk terus
kekal dalam topik perbualan. Dan sebaliknya.
Anak-anak dilatih untuk menguasai kemahiran ini seawal usia lagi dengan cara bermain.
Ini antara teknik yang boleh digunakan untuk melatih kemahiran mengambil giliran:
+ setiap kali bercakap dengan anak, beri peluang atau masa (berhenti seketika) kepada anak untuk proses apa yang mereka dengar.
+ gunakan ekspresi muka intonasi suara dsb ketika kita berhenti seketika, sebagai signal
yang kita sedang menanti respons.
+ kekalkan tumpuan mata dan beri masa (tunggu), membuat gerak isyarat atau bertanya
soalan.
Dengan adanya kemahiran ini, lebih banyak peluang untuk kita ajarkan sesuatu kepada
anak ketika bermain.
Menunggu giliran membolehkan mereka memerhati dan meniru rakan sepermainan.
3. Modelkan bahasa dan panjangkan ayat.
Ini pentingnya keterlibatan orang dewasa. Gunakan perkataan baru, tambahkan kosa kata
dengan menggunakannya semasa bermain.
Kita juga dapat memodelkan struktur ayat yang betul dan memanjangkan ayat yang anak
hasilkan.
4. Main permainan yang sama berulang kali.
Mungkin kita rasa bosan untuk bermain benda yang sama setiap kali, tapi tidak bagi anak-anak.
Pengulangan menguatkan kemahiran yang sedia ada.
Perkara yang dilakukan berulang kali memberi peluang kepada minda untuk lebih kuat
berhubung dan membina jaringan baru.
Ambil peluang ini untuk mantapkan penggunaan perkataan baru semasa bermain benda
yang sama.
Sehingga anak boleh gunakan semula secara spontan.
.
.
Sememangnya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Namun kita boleh menguasainya dengan latihan.
Dan percayalah,
Inilah pengorbanan yang berbaloi.
Comments
Post a Comment