APRAKSIA: BAGAIMANA IBU BAPA BOLEH BANTU ANAK DI RUMAH?

“Saya perasan anak ada usaha untuk keluarkan bunyi. Tapi nampak ‘struggle’.”

“kadang-kadang macam ada keluarkan bunyi mirip perkataan, tapi jarang sangat-sangat. Selalunya berlaku sekali sahaja.”

Ini antara luahan ibubapa yang anaknya ada tunjukkan ciri-ciri apraksia.  



Apa itu apraksia?

Apraksia ialah sejenis kecelaruan di mana kanak-kanak tidak boleh menggerakkan mulut, lidah dan rahang 
untuk menghasilkan bunyi percakapan yang betul. 
Apraksia tidak melibatkan kelemahan otot-otot muka.

Mari kita lihat analogi ini:

Adaikan sebuah kereta. Bayangkan, kita sedang memandu di jalan raya. Di penghujung 
jalan, ada simpang tiga, dan kita mahu pusing ke sebelah kiri. 

Kita gerakkan pemegang signal sebelah kiri ke bawah. Namun, masalah pewayaran dalam 
kereta menyebabkan signal tidak berfungsi, malah lampu ‘emergency’ pula yang menyala! 
Kita cuba lagi. Kali ini, lampu ‘break’ pula yang menyala. 
Setiap kali kita menggerakkan pemegang signal sebelah kiri, setiap kali sesuatu yang lain 
pula berlaku pada kereta. Bayangkan betapa tertekannya kita ketika ini!

Ini yang berlaku pada kanak-kanak yang menghadapi masalah apraksia.

Mereka tahu apa yang ingin dikatakan, namun apabila mesej dihantar kepada 
bahagian otak yang menyusun pergerakan otot-otot, kesemua signal bercampur aduk dan mulut tidak dapat 
menghasilkan bunyi yang sepatutnya.

Tanpa bantuan dan latihan, mulut akan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan bunyi yang tepat. 

Anak perlukan ‘feedback’ bagaimana untuk menggerakkan mulut bagi menghasilkan bunyi 
tertentu dan tentukan sama ada apa yang disebut betul atau tidak. ‘feedback’ inilah akan 
bantu otak untuk tentukan bahagian mana yang perlu dilatih 
(sistem pewayaran di bahagian otak) dan pergerakan otot di bahagian mulut yang tepat.


Ini antara ciri-ciri apraksia bagi kanak-kanak:

(peringatan: setiap kanak-kanak bermasalah apraksia mempunya ciri-ciri yang berbeza)

Kanak-kanak kurang daripada 3 tahun:

+ anak tidak menghasilkan bunyi vokal dan membebel ketika bayi.
+ lambat menghasilkan perkataaan pertama.
+ menghasilkan bunyi yang terhad.
+ menghadapi masalah untuk menggabungkan bunyi-bunyi perkataan.
+ kesalahan bunyi yang dihasilkan tidak konsisten


Kanak-kanak lebih daripada 3 tahun:

+ tidak menyebut perkataan dengan cara/bunyi yang sama setiap kali menyebut perkataan 
tersebut.
+ boleh memahami percakapan lebih baik daripada menghasilkan pertuturan.
+ menghadapi masalah untuk meniru pertuturan. Jika boleh meniru, perkataan yang 
dihasilkan adalah lebih baik berbanding dengan perkataan yang disebut sendiri.
+ mengalami kesukaran untuk menggerakkan lidah dan mulut untuk menghasilkan bunyi.
+ perkataan yang lebih panjang, lebih sukar dihasilkan
+ dalam keadaan gementar, proses bercakap lebih sukar.

Intonasi pertuturan terjejas.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan di rumah bagi membantu anak bermasalah apraksia?

1. Bermula dengan komunikasi
Utamakan keinginan untuk berkomunikasi. Bayangkan bagaimana rasanya jika kita faham 
dan mahu katakan sesuatu, namun tidak mampu untuk berbuat demikian, 
pasti rasa tertekan kan?

Kurangkan kekecewaaan dan tekanan pada anak untuk bercakap. Bermula dari sini, anak 
akan mula untu hargai kuasa komunikasi.

Boleh gunakan:

Komunikasi augmentatif dan alternatif (augmentative and alternative communication).
Ini merupakan alternatif yang digunakan untuk berkomunikasi bagi individu yang sukar 
bercakap. Contohnya. boleh gunakan papan gambar. Anak akan gunakan gambar untuk 
tujuan komunikasi (dengan tunjuk kepada gambar). Gambar boleh disediakan mengikut 
tema yang berlainan seperti kumpulan gambar makanan, aktiviti harian, permainan, 
emosi dsb. Secara ringkasnya, apa sahaja yang difikirkan penting bagi anak dan apa yang 
kita mhu anak sampaikan.

Selain daripada itu, bahasa isyarat juga dapat membantu. Banyak kajian membuktikan 
bahasa isyarat tidak membantutkan pertuturan anak. Namun, gerak isyarat yang kita 
lakukan (sertakan dengan pertuturan) akan bantu anak untuk menggabungkan isyarat 
dengan sebutan kelak.

Secara peribadi, saya juga perkenalkan beberapa bahasa isyarat bayi semasa anak-anak saya masih kecil. Mereka mampu hasilkan isyarat seawal 8 bulan dan apabila mula 
bercakap, mereka tidak lagi menggukana bahasa isyarat.

2. Galakkan pertuturan

Selepas anak tahu pentingnya berkomunikasi, mereka perlu digalakkan menghasilkan 
pertuturan. 

Paling penting, adalah untuk menghasilkan persekitaran yang memerlukan anak untuk 
bercakap atau usaha untuk menghasilkan pertuturan. Kaji persekitaran di rumah.

Elakkan untuk terus respons kepada tangisan, isyarat komunikasi yang kerap dilakukan, 
rengekan atau protes anak. Biasanya, Speech therapist akan tentukan di mana tahap 
kemampuan anak kita dalam proses komunikasi. Dari sini, kita tahu apa yang kita perlu 
jangkakan apabila anak berkomunikasi.

Sebagai contoh, apabila anak ingin ambil susu kotak di dalam peti ais, 
anak tunjuk peti ais dan merengek, dan kita tahu anak boleh lakukan sekurang-kurangnya bunyi “uuhh”. 

Kita boleh katakan seperti, “oh, adik nak susu?” (sebut sepatah-sepatah). Jika anak mengangguk, katakan, “nak SUSU” sambil tunjuk pada mulut. 
Tunggu respons anak sekurang-kurangnya 10 saat. 

Paling kurang anak perlu hasilkan bunyi yang sepatutnya boleh dilakukan seperti “uuhh”. 
Tidak mengapa! Berikan pujin. Elakkan sehingga anak terlalu kecewa kerana kita 
meletakkan harapan yang tinggi ingin anak bercakap. 
Kekecewaan akan hilangkan motivasi anak untuk terus belajar bercakap.

Konsisten! cara ini akan bantu anak untuk setkan dalam minda bahawa mereka perlu usaha sebut sesuatu jika inginkan sesuatu.
  
3. Buat buku skrap

Cari gambar yang boleh menghasilkan bunyi mudah seperti gambar kenderaan, haiwan,
perbuatan mudah dsb. Pilih dan tampal pada buku. Baca bersama berulang kali supaya 
anak mudah meniru bunyi dan pergerakan mulut yang betul. lakukan dengan seronok dan 
kreatif!


4. Nyanyi bersama
 Perkataan yang diikuti dengan melodi lebih mudah dipelajari. Nyanyi bersama anak dan 
beri peluang untuk anak hasilkan perkataan sendiri seperti nyanyi separuh daripada lagu, 
dan anak perlu sambung (lagu yang selalu dinyanyikan).


5. Membaca buku bersama anak, berulang kali.
Membaca buku yang sama berulang kali, mampu membina keyakinan anak untuk meniru 
dan menggunakan semula bunyi atau perkataan daripada buku. Atau pilihlan buku yang 
mempunyai memberi peluang untuk kita menghasilkan bunyi atau perkataan berulang-ulang. 
Pengulangan penting kerana ia mampu meningkatkan tahap penghasilan bahasa secara 
spontan.
.

ini antara latihan yang boleh dilakukan secara general di rumah. kebiasaannya, Speech Therapist akan bekalkan kaedah yang spesifik bagi membantu anak-anak bermasalah apraksia mengikut ciri-ciri yang ditunjukkan.

Apa yang paling penting, adalah untuk kita sentiasa galakkan anak untuk menghasilkan 
pertuturan. 
Perlu sentiasa sediakan peluang untuk anak bercakap. 

Latihan perlu dijalankan secara konsisten sehingga anak boleh bercakap dengan jelas. 

Jika anak menunjukkan ciri-ciri seperti di atas, dapatkan bantuan 
Speech Therapist dengan segera.

SITI SARAH SAID,
SPEECH-LANGUAGE THERAPIST. 




Comments