Apabila lihat anak kecil sudah berjalan, mesti ada pertanyaan dari orang sekeliling,
"Sudah boleh bercakap?"
Tak kurang juga ada ibubapa yang sentiasa menunggu perkataan yang akan keluar daripada mulut si comel.
Ada juga anak yang sudah boleh bercakap, tapi hanya sebut apabila disuruh meniru perkataan atau ujaran. Katanya 'mulut malas'.
Namun sedar ataupun tidak,
Apa yang kita tunggu adalah 'perkataan',
sehingga kita terlupa untuk melihat tindakan anak untuk berkomunikasi.
Ada masanya anak BERKOMUNIKASI dengan kita, tapi kita terlepas pandang kerana yang kita tungu-tunggu adalah PERTUTURAN.
Untuk membantu anak yang lewat bertutur, pertama sekali kita perlu tahu apa beza pertuturan, bahasa dan komunikasi secara umum.
Bagaimana tiga komponen ini patut disusun bagi membantu anak bercakap.
Apakah itu PERTUTURAN?
+ Proses penghasilan sebutan secara fizikal.
Bagaimana sebutan dihasilkan dan cara sebutan.
+ Kelancaran pertuturan.
Pertuturan lancar atau wujud gangguan seperti gagap.
+ Melibatkan kualiti suara.
Apakah itu BAHASA?
Bahasa berbentuk simbolik dan mempunyai sistem peraturan (secara bercakap atau bertulis).
Menurut American Speech Language Hearing Association (ASHA),
Bahasa dihasilkan oleh peraturan sosial yang dikongsi bersama. Ia melibatkan:
+ maksud perkataan
+ bagaimana untuk menggabungkan perkataan
+ bagaimana membentuk perkataan baru (contohnya penambahan imbuhan)
+perkataan yang sesuai digabungkan dan digunakan dalam situasi yang betul
Sekiranya kanak-kanak mula mengeluarkan perkataan pertama pada umur 12 bulan, 0-12 bulan itu adalah tempoh mereka mendengar bahasa, memahami dan belajar cara menggunakannya.
Setiap bahasa ada peraturan tersediri.
Contohnya peraturan dalam Bahasa Melayu adalah tidak sama dengan peraturan dalam Bahasa Inggeris.
Ada bahasa tidak memerlukan pertuturan. Contohnya sistem bahasa isyarat.
Apakah itu KOMUNIKASI?
Iaitu perlakuan menyampaikan mesej untuk berkongsi pemahaman antara satu sama lain.
Dua pihak yang berkomunikasi faham antara satu sama lain, walaupun tidak berkongsi pertuturan dan bahasa yang sama.
Lihat contoh ini,
Seorang warganegara Korea mengunjungi negara Jepun.
Dia ingin menyewa kereta tapi tidak ada yang boleh berbahasa korea.
Juga tidak boleh berbahasa Inggeris.
Langkah terakhir yang boleh diambil adalah dengan melakukan isyarat tangan seperti memandu atau lukis gambar kereta pada kertas.
Dengan cara ini, mesejnya dapat difahami.
.
.
.
Seseorang boleh menggunakan gerakan, ekspresi muka, bahasa badan dan gambar untuk berkomunikasi.
Lazimnya jika anak ada masalah pertuturan dan bahasa, kita lihat dahulu pada cara komunikasinya.
Adakah anak kita boleh menyampaikan apa yang mereka inginkan, walaupun tanpa pertuturan?
Adakah mereka boleh berkomunikasi untuk pelbagai tujuan?
Jika ada,
Beri tindak balas yang sesuai pada komunikasi mereka dan barulah kembangkan kemahiran kepada pertuturan!
Komunikasi adalah perkara yang paling penting dalam interaksi.
Contohnya bagi kanak-kanak yang tidak ada pertuturan dan kemahiran bahasa di tahap yang teruk, 'Augmentative & Alternative Communication' (AAC) digunakan bagi menyokong komunikasi.
Ini termasuk penggunaan gambar atau alat elektronik untuk menyampaikan keinginan atau keperluan.
Bagi membantu anak menguasai kemahiran bertutur,
Ibubapa perlu ada kemahiran untuk faham komunikasi anak supaya cara komunikasi itu dapat dikembangkan.
Antara komunikasi tanpa verbal adalah seperti:
+ 'Eye-contact'
+ menunjukkan minat dan melihat ke arah objek/peristiwa
+ tunjuk menggunakan jari
+ ekspresi muka
+ bahasa badan
+ intonasi suara
Perhatikan segala isyarat yang mereka gunakan untuk berkomunikasi,
Beri tindak balas yang sesuai.
Gunakan komunikasi tanpa verbal ini sebagai tangga untuk membina kemahiran bahasa dan pertuturan.
Secara rumusannya,
1. Apabila komunikasi berlaku, mesej akan disampaikan. Tanpa pertuturan, komukasi tetap boleh berlaku.
2. Komunikasi berlaku atas tujuan tertentu.
Walaupun kemahiran bertutur adalah penting, memahami keinginan dan kehendak adalah lebih penting.
Ia boleh berlaku secara komunikasi bukan verbal (gerak badan, ekspresi muka dan sebagainya).
Kajian membuktikan komunikasi berkaitrapat dengan tingkah laku anak-anak.
Oleh itu, beri tindak balas yang sewajarnya pada anak yang sedang menunjukkan tingkah laku negatif. Mereka sedang berkomunikasi.
3. Ibubapa perlu kenalpasti mesej yang disampaikan oleh anak. Cara apa, dan bagaimana mesej disampaikan.
Dari sini kita boleh kembangkan cara komunikasi kepada pertuturan.
.
.
.
Adakah anak anda masih tidak bertutur dan tidak menunjukkan isyarat komunikasi?
Adalah disarankan untuk berjumpa dengan Speech Therapist berhampiran untuk dapatkan penilaian dan rawatan.
SITI SARAH SAID
SPEECH-LANGUAGE THERAPIST.
Comments
Post a Comment