PERKEMBANGAN ANAK 12 HINGGA 24 BULAN

SAYA KINI 19 BULAN!
==================

Kebiasaannya, anak di peringkat usia 12 hingga 24 bulan mempunyai variasi julat 
perkembangan yang besar berbanding peringkat usia yang lain.
Sesetengahnya, pada umur 12 bulan sudah mengeluarkan perkataan pertama. Sesetengah 
lagi hanya muncul pada usia 15 bulan.
Ada yang punyai lebih kurang 10 jumlah perkataan sahaja pada usia 18 bulan, namun 
apabila mencapai 21 bulan kosa katanya bertambah secara mendadak.
Ada juga yang sudah mula menghasilkan ayat dua patah perkataan.
Ini masih dikira normal.
Puteri kedua saya (19 bulan) kini sedang giat menambah perkataan baru setiap hari.
Ayat rutin yang biasa digunakan, boleh terbina sehingga 3 atau lebih perkataan dalam satu 
ayat.
Dari segi perkembangan kognitif dan motor, dia belajar perkara baru setiap hari.
Pada usia ini, kami tidak boleh terlepas pandang langsung!
Setiap kali abahnya pulang dari kerja, dia akan memanjat gril pintu setinggi yang boleh 
untuk menyambut kepulangan abahnya.
Kerusi kecilnya menjadi peneman. Ke mana sahaja akan ditolak dan dipanjat agar mudah 
akses kepada barang di tempat yang tinggi.
Jika dilarang panjat kerusi, sofa pula akan dipanjat.
Orang kata, tidak makan saman!
Namun, begitulah hakikatnya. Mereka sedang belajar cara untuk menyelesaikan masalah.
Bergerak aktif setiap masa.
Kanak-kanak seusia ini juga mulai faham banyak arahan mudah.
"Letak pinggan atas meja."
"Letak baju kotor dalam bakul."
"Pergi dapur basuh tangan."
.
Namun, sebutannya masih kurang jelas. Orang luar sukar memahami apa yang disampaikan.
Dia cenderung untuk menyebut suku kata akhir pada perkataan.
Lily Hasya, "Adik nak kai cut." (Adik nak pakai kasut)
"Adik nak gi ya." (Adik nak pergi luar)
Dari segi sosial, Lily Hasya sangat berbeza dengan kakaknya pada usia yang sama.
Lily Hasya mudah mesra dengan orang lain pada usia ini dan mudah berkawan. Dia juga 
sedang galak meniru perlakuan kakaknya.
Pada peringkat ini, dia juga sudah mulai 'enjoy' aktiviti bersama buku.
Ada masanya, dia akan duduk sendirian bersama buku sambil menunjuk-nunjuk, menyebut perkataan yang biasa didengar dan membuat isyarat pergerakan yang 
biasa dilakukan ketika membaca bersama.
Boleh dikatakan apa-apa sahaja aktiviti boleh menarik perhatian anak dalam lingkungan 18-24 bulan ini.
Cuba perhatikan, pasti ada tindakan yang tak terduga!
.
.
.
Selalu pesan pada diri kita, 'slow down'.
Masa bergerak pantas. Anak-anak mebesar dengan cepat. Hargai saat-saat ini.
Dengan memberi perhatian terhadap perkembangan mereka, kita juga dapat mengenalpasti sebarang kelewatan pada anak kita lebih awal.

Comments