"Semua salah saya. Menyesal sungguh saya tak ikutkan gerak hati saya sendiri. Selama ni memang saya terus cari alasan untuk sedapkan hati."
"Kasihan dia...saya selalu marahkan dia bila dia tak ikut arahan. Bila dia susah nak cakap, saya cuba betulkan. Minta dia ulang. Tapi lain jadinya. Bila dia mula mengamuk, saya mula tertekan."
Luah seorang ibu. Kelihatan masih ada baris tidak habis. Saya terus tekun mendengar.
"Jujur saya katakan pada waktu itu memang
tiada inisiatif. Saya hanya menunggu dan
berharap dia boleh bertutur elok seperti rakannya yang lain suatu hari nanti".
Beliau lantas mengesat airmatanya. Anak lelakinya tinggal dua bulan lagi genap 4 tahun. Sukar
faham arahan, sukar bercerita, pertuturannya
sukar difahami orang luar, kecuali ahli keluarga. Di taska, sukar berkawan kerana kurang mahir
berkomunikasi.
.
.
.
Sudah beberapa kali saya dengar pengakuan begini.
Zaman ini ibubapa semakin peka akan perkembangan anak-anak. Informasi di hujung jari.
Sesetengah daripada mereka seakan sudah dapat 'klu' bahawa anak mereka lewat menguasai
kemahiran bahasa dan pertuturan seawal usia 18-30 bulan lagi.
Tetapi akibat rasa 'takut' berhadapan realiti, mereka memilih jalan untuk tunggu dan lihat.
Menurut kajian, 70-80% kanak-kanak yang lewat bertutur mampu bertutur pada suatu masa tertentu dan berkembang selari dengan
rakan sebaya.
Namun 20-30% tidak akan mencapai tahap yang sama. Mereka akan menghadapi masalah bahasa dan
pertuturan sehingga mempengaruhi kebolehan untuk belajar di peringkat sekolah.
Jika anak yang lewat bertutur termasuk dalam golongan majoriti, syukur Alhamdulillah. Tapi jika
mereka termasuk dalam golongan minoriti, tindakan ini seperti menjerat diri!
Sukar untuk kita tentukan anak yang lewat bertutur ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan yang
berjaya mengatasi masalah pertuturan atau sebaliknya.
Speech Therapist umumnya berpendapat pendekatan 'tunggu dan lihat' adalah tidak digalakkan sama sekali apabila ia melibatkan perkembangan bahasa dan pertuturan.
Melewatkan proses intervensi akan menghadkan rawatan yang penting bagi membantu anak-anak yang lewat bertutur.
Mengapa perlu intervensi awal?
1. tiga tahun pertama adalah masa kritikal untuk perkembangan otak kanak-kanak.
Otak kita bersifat 'plastik'.
Sifat ini menjadikan otak kita 'flexible' dan mudah berubah. Sebarang latihan dan kemahiran baru mudah dipelajari dan dikuasai.
Seiring usia kebolehan ini akan berkurangan. Terapi seeloknya dijalankan seawal mungkin (0-3 tahun) bagi menggunakan kelebihan otak pada tempoh masa ini.
2. intervensi awal dapat mengelakkan kanak-kanak daripada berhadapan isu yang lebih besar seperti masalah pembelajaran di peringkat sekolah, tingkah laku, dan kesihatan mental.
3. rawatan awal dapat mengurangkan kos yang ditanggung dan masa rawatan adalah lebih SINGKAT, berbanding dengan rawatan yang dikenakan setelah kanak-kanak melepasi umur kritikal dalam
proses pemerolehan bahasa.
4. Pembentukan emosi dan tingkah laku berlaku pada awal usia lagi. Kebolehan bertutur dapat membantu mereka menyalurkan emosi melalui komunikasi secara verbal.
Apabila tujuan komunikasi dapat dilahirkan secara verbal, ini dapat mengurangkan rasa kecewa, tertekan, justeru dapat mengurangkan tingkah laku negatif.
.
Bagaimana Speech Therapist bertindak dalam proses intervensi awal?
+ Setelah melakukan proses penilaian, analisis dan merancang rawatan untuk klien, Speech Therapist akan berkongsi pengetahuan dan informasi yang berkaitan dengan ibubapa.
+ Speech Therapist akan mengenalpasti faktor yang mempengaruhi kelewatan pertuturan dan akan merancang pelan latihan di rumah bersesuaian dengan klien itu sendiri.
Ibubapa akan dibantu secara eksklusif bagi membolehkan mereka memberikan stimulasi bahasa dan pertuturan di luar sesi terapi.
Perkembangan anak seterusnya akan dipantau dari semasa ke semasa sehingga mencapai tahap yang dikehendaki.
.
.
.
.
Diharapkan informasi ini dapat membantu ibubapa membuat keputusan terbaik semasa berhadapan dengan isu perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak.
Walaubagaimanapun, ibubapa tetap digalakkan untuk mendengar, memberi tindak balas kepada anak, bercakap, membaca buku dan bermain bersama anak bagi membantu proses pemerolehan bahasa dan pertuturan mereka.
SITI SARAH SAID
SPEECH-LANGUAGE THERAPIST.
Comments
Post a Comment