BUKU merupakan alat yang berkuasa bagi meningkatkan kemahiran bahasa dan pertuturan kanak-kanak.
Bagaimana ia boleh digunakan?
Ikuti tip di bawah:
1) Apabila membaca bersama kanak-kanak yang berusia 2-3 tahun, fokuskan kepada kemahiran tumpuan bersama.
Elakkan bergantung kepada perkataan atau ayat di dalam buku.
Cuba tunjuk kepada benda dan perkara yang menarik dalam buku. Sekiranya ada gambar
yang menarik perhatian mereka, ambil lebih masa bercerita tentang perkara itu. Ikut rentak mereka.
2) Cuba gunakan buku yang berbeza dan menarik perhatian seperti buku 'pop-up', buku berbunyi, atau buku yang mempunyai 'puppet' yang boleh digunakan untuk
berinteraksi dengan anak.
3) Perkenalkan perkataan baru dan bunyi-bunyi mudah semasa membaca.
Selain menamakan setiap benda di dalam gambar, cuba gunakan kumpulan perkataan lain
seperti kata kerja, kata sifat dan sebagainya.
Sebagai contoh, "lihat, abang sedang LARI!" Ataupun "waaahhh BESARnya!"
Hasilkan bunyi yang berkaitan dengan perkara yang dilihat (bunyi binatang, bunyi
kenderaan, bunyi hasil daripada perbuatan).
4) Galakkan kemahiran mendengar dan keterlibatan mereka dalam aktiviti membaca.
Setiap kanak-kanak biasanya ada buku kegemaran yang dibaca berulang-ulang kali.
Mereka akan sedar sekiranya kita mengubah atau cuba memendekkan jalan cerita.
Gunakan peluang ini untuk menggalakkan kemahiran mendengar dan kemahiran bahasa
mereka.
Gunakan kaedah berhenti seketika semasa bercerita dan perhatikan sama ada mereka akan menyambung ayat.
Contohnya,
"Adik sedang berus ______ ." ( wujudkan ayat tergantung, beri peluang mereka
menyambung ayat).
Di sinilah pentingnya mewujudkan frasa atau ayat yang berulang-ulang. Perkara yang berulang-ulang mudah dijangkakan.
5) Tingkatkan kefahaman.
Bina soalan berkenaan perkara atau peristiwa, watak, dan tempat di dalam gambar.
Namun elakkan bertanya terlalu banyak. Tujuan kita adalah membina kemahiran
kefahaman secara semulajadi dan cuba elakkan situasi seperti sesi ujian.
6) Lakonkan semula watak seperti di dalam cerita.
Dengan cara ini, kita dapat membina emosi, imaginasi, tumpuan bersama, kerjasama dan
kemahiran pertuturan.
==> Untuk kanak-kanak yang lebih besar, metod ini boleh digunakan:
1) Galakkan anak untuk ceritakan semula buku yang dibaca.
Aktiviti ini akan meningkatkan kemahiran memahami peristiwa mengikut urutan.
2) Buat jangkaan.
Setiap orang membuat jangkaan tentang jalan cerita sebelum beralih kepada muka surat seterusnya.
3) Terokai emosi.
Fikirkan emosi setiap watak yang terlibat dan belajar tentang perspektif orang lain.
Bincangkan tentang perubahan emosi yang berlaku sepanjang cerita dan mengapa ia
berlaku.
.
.
.
.
.
.
Perlu diingat,
belajar membaca dan membacakan buku untuk anak-anak adalah dua perkara yang berbeza.
Gunakan buku untuk tingkatkan kefahaman serta bina kemahiran bahasa dan pertuturan
dahulu.
Kemahiran-kemahiran ini merupakan asas yang kukuh untuk membina kemahiran
membaca dan menulis kelak.
SITI SARAH SAID,
SPEECH-LANGUAGE THERAPIST.
Comments
Post a Comment