BAGAIMANA MAHU DIDIK ANAK MENJADI SEORANG YANG OPTIMIS

Baru-baru ini saya terbaca satu artikel tentang bagaimana mahu mendidik anak 
menjadi seorang yang optimis.
Yang paling lekat di kepala saya, kita perlu sentiasa dorong anak untuk berusaha. Puji usaha anak, bukan kejayaan anak.
Antara perkara penting yang perlu kita ajar, adalah tentang keupayaan otak kita.
Anak ini perlu diajar bahawa otak kita bersifat plastik. Sentiasa berubah bentuk.
Keupayaan otak inilah yang akan membantu kita berjaya.
Ya, anak-anak kita perlu tahu ini untuk berjaya.
Kisah ini buatkan saya terbayang satu-persatu muka parents yang punyai anak yang lewat bercakap.
Kadangkala, riak muka yang dibawa membawa isi hati yang tersirat.
"Anak saya masih tak nampak progress. Betul ke usaha saya selama ini berbaloi?"
Berbalik kepada artikel tadi, saya percaya, kita juga perlu ada 'mindset' ini.
Apa sahaja latihan yang kita buat, sebenarnya kita melatih otak untuk beradaptasi dengan 
perkara dan pelajaran baru.
Syaratnya perlu berterusan.
Masih ingat bait lagu ini?
"Jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan.. jika kau fikirkan 
ragu-ragu usahamu tidak menentu..."
Bait lagu ini umpama mantera yang boleh digunapakai ketika kita rasa tenggelam.
Saya ingin kongsikan tips berbentuk peringatan, yang ditulis oleh Dr. Dan Siegal bersama 
Tina Payne Bryson dalam buku No-Drama Discipline,
berkenaan the brain's C.


1. Changing
Otak kanak-kanak sedang membesar dan sedang berubah.
Dikatakan, tempoh matang adalah lebih kurang 23 tahun. Mereka masih dalam proses 
membina rangkaian otak.
Ini sebabnya mengapa mereka perlukan bantuan untuk memahami apa yang berlaku di 
sekeliling mereka. Komunikasi adalah salah satu cara mereka memahami dunia.

2. Changeable.
Otak kita bersifat plastik. Boleh berubah bentuk. Kita boleh bentuk mereka seperti mana 
yang kita mahu.
Anak menangis jika mahukan sesuatu?
Gunakan cara respons yang betul untuk membantu, konsisten, berulang-ulang. Inilah proses otak membentuk respons baru.
Anak suka 'buat perangai'? Tetapkan matlamat yang diinginkan, latih secara konsisten.
Otak kita sentiasa bersedia untuk belajar. Jadi, akan sentiasa ada harapan untuk berubah.
Cuma masa yang diambil mungkin berbeza.

3. Complex
Otak bersifat kompleks. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian punyai 
tempoh matang yang berlainan.
Setiap bahagian perlu berhubung di antara satu sama lain bagi menghasilkan respons yang 
sesuai dengan persekitaran.
Adakah ini sesuatu yang mudah untuk kanak-kanak?
Sudah tentu tidak.
Oleh sebab ini, beri masa anak untuk terokai semua perkara. Beri mereka peluang bermain dan berinteraksi. Inilah masanya untuk melatih keseluruhan otak berhubung.
.
.
Mengapa saya kongsikan semua ini?
Saya mahu kita sama-sama tanamkan pemikiran ini dalam usaha membantu anak.
Ini ringkasan yang boleh diambil:
1. Kurangkan kerja memudahkan anak, tingkatkan bantuan yang memberi peluang kepada mereka untuk berusaha.
2. Teruskan usaha, buang jauh-jauh rasa putus asa. Seteruk manapun keadaan anak kita, masih ada harapan untuk dia 
belajar berdikari.
3. Jika masa adalah penghalang disebabkan lifestyle kita, cuba bincang sesama ahli keluarga. Contohnya, kurangkan masa di dapur, pengurusan kerja di rumah dll.
Saya juga seorang ibu dan saya juga sentiasa perlu tanamkan perkara ini di dalam minda.
Anak-anak saya perlukan bantuan saya untuk fahami keperluan diri dan dunia di sekeliling 
mereka.
Saya berharap coretan ini dapat membantu sesiapa yang sedang berjalan di laluan yang sukar.

SITI SARAH SAID
SPEECH LANGUAGE THERAPIST

Comments