ANAK MASIH MENANGIS KE SEKOLAH?

Hampir masuk bulan ke-6 anak di tadika, apa yang anda perhatikan?
Pasti ada yang mula pandai bersosial, sudah kurang memilih makanan, sudah 
pandai bercerita, makin berani dsb.
Namun, sebenarnya ada juga yang masih tiada perubahan. Ada yang semakin tidak 
suka bersekolah atau mungkin ada yang makin takut untuk bercakap di sekolah.
Saya berpeluang pergi ke beberapa buah tadika. Ada beberapa perbezaan yang ditunjukkan oleh pelajar di setiap tadika.
Ada ciri-ciri tertentu yang ada pada sebuah tadika, yang boleh meningkatkan potensi 
pelajarnya, dan sebaliknya.

Bagi tadika yang kebanyakan pelajarnya gembira dan berkeyakinan, ini yang saya 
perhatikan:
1. Anak menangis, marah, bergaduh, guru terima semua emosi. Tak paksa anak untuk 
simpan atau nafikan emosi.
2. Berteraskan kasih sayang. Jika salah, dibetulkan dengan lembut. Tidak terus marah, 
anak ada peluang untuk buat kesilapan dan belajar.
3. Tadika tempat anak belajar bersosial. Guru sebagai model, pelajar akan praktikkan. 
Anak-anak dilatih berinteraksi, bercakap dan simpati terhadap 
orang lain melalui tauladan guru.
4. Anak-anak faham konsep belajar, kerana akademik diaplikasikan 
dalam aktiviti seharian dalam bentuk yang menyeronokkan! Bukan hanya 
duduk di kerusi sepanjang hari.
5. Kurang atau tiada langsung buku latihan. Sekiranya tiada homework yang perlu 
dibawa pulang, lebih bagus. Masa di rumah, anak-anak boleh luangkan bersama keluarga.
Anak lebih gembira ke sekolah.
6. Guru-guru sentiasa berikan kata-kata positif untuk tingkatkan keyakinan diri anak-anak.
7. Pelajar dinilai secara individu. Setiap pelajar ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Guru boleh menceritakan watak (kelebihan dan kekurangan) setiap pelajar.
8. Pelajar yang lemah dikenalpasti, diletakkan dalam kumpulan rakan yang boleh 
membantu.
9. Murid tidak diasingkan mengikut peringkat usia (4, 5 dan 6 tahun).
Pada mulanya saya agak skeptikal dengan pendekatan ini. Namun apa yang saya perhatikan, pelajar saling membantu.
Yang lebih berusia boleh dilatih sebagai pemimpin, manakala yang lebih muda boleh belajar mencontohi rakan yang lebih berusia.
10. Pelajar diberi ruang untuk berfikir sendiri dan tidak bergantung kepada guru 
untuk menyelesaikan masalah.
Sebenarnya banyak lagi yang boleh disenaraikan.
Adakah pemilihan tadika itu penting?
Bagi saya, TENTU SEKALI.
Tadika tempat anak-anak mula mengenal konsep belajar di luar rumah.
Proses belajar perlu dimulakan dengan cara yang betul bagi meningkatkan 
motivasi anak untuk 'enjoy' belajar.
Apa lagi faktor penting yang perlu kita tahu?
Kenalpasti sebarang masalah yang anak hadapi.
Adakah kemahiran bahasa dan pertuturannya baik, bagaimana tahap 
pendengaran dan penglihatan anak.
Semua ini akan memberi kesan terhadap proses belajar anak.
Seperti yang ditulis oleh Jane M. Healy dalam buku Your Child Growing Mind,
"Zaman kanak-kanak adalah PROSES, bukannya produk, begitu juga pembelajaran.
Dalam masyarakat yang mengagungkan produk lebih daripada proses pembentukan 
dan pemikiran, kita sering terperangkap dalam kerisauan untuk mengukur kejayaan 
semata-mata."

SITI SARAH SAID
SPEECH-LANGUAGE THERAPIST

Comments