BANTU ANAK LAMBAT BERCAKAP: KEPENTINGAN TUMPUAN BERSAMA

Anak kecik sedang main air, cedok air guna bekas dan siram dalam besen. Air yang mengalir diperhatikan. 

Kemudian melirih ke arah kita, dengan muka yang penuh kagum, tanda tanya, kemudian 
tengok balik pada bekas.

Main di luar, sekumpulan burung lalu. Mata anak tertumpu pada burung yang banyak, 
terbang di udara, sambil berkicauan. Kemudian pandang kita. Tangan tunjuk pada burung. Kita tersenyum dan lihat bersama.



Apa yang sedang berlaku?

Situasi ini dinamakan sebagai 'tumpuan bersama'. Berkongsi fokus pada sesuatu (subjek, 
objek, konsep, peristiwa) dengan individu lain. Daripada usia anak 6-9 bulan, kita boleh perhatikan mereka sudah berupaya melihat objek yang diperhatikan oleh ibubapa. Seiring usia, kemahiran ini akan berkembang. 

Melalui tumpuan bersama, mereka boleh membuat perkaitan di antara objek dan perkataan yang didengari daripada kita. Berkongsi fokus bukan sahaja membantu individu 
berkomunikasi, ia juga membantu mengembangkan kemahiran sosial seperti membina 
hubungan dan melihat pandangan dari sudut orang lain.

Untuk kanak-kanak 'autisme', aktiviti sebegini mungkin sukar kerana mereka
tidak menguasai kemahiran sosial yang diperlukan untuk memulakan atau mengekalkan 
fokus dengan individu lain. Selain itu, masalah sensori yang dihadapi mereka menjadikan 
pengalaman berkongsi tumpuan adalah sesuatu yang meresahkan, tidak selamat dan menakutkan. 

Apakah cara untuk meningkat kemahiran tumpuan bersama?

1. Perhatikan perkara yang menarik perhatian dan minat anak.

2. Berada pada aras mata anak.

3. Sentuh anak atau sentuh objek yang beliau pegang. Dengan cara ini kita boleh 
mendapatkan perhatian mereka. 

4. Panggil namanya.

5. Atau guna gerakan, menunjuk, pandangan mata, untuk tunjuk pada anak bagi 
mengarahkan fokusnya ke atas sesuatu.

6. Pergi ke tempat yang lebih senyap. Elakkan gangguan bunyi di sekitar (tutupkan TV 
ketika ingin wujudkan interaksi).

7. Beri stimulasi bahasa pada ketika itu, 'label'kan apa yang dilihat. Beri nama untuk setiap benda, perbuatan atau peristiwa yang terlibat pada ketika itu.

8. Gunakan intonasi yang menarik. Ini dapat menarik perhatian anak dan memudahkan 
anak menangkap perkataan yang disarankan. Tekankan intonasi pada perkataaan sasaran. 

9. Gunakan ayat yang ringkas. Modelkan ayat yang sedikit tinggi daripada tahap semasa 
anak. Contohnya, jika anak baru mula bercakap 1 patah perkataan, guna ayat yang mempunyai dua patah perkataaan dan seterusnya. 

Kemahiran ini juga boleh dipraktikkan dalam rutin harian. Ketika anak mandi, bersiar-siar diluar, waktu makan, waktu bermain bersama, membaca buku bersama dan sebagainya. 

Comments